.......................................................................................
JAWAPAN Y.B.DATO DR AMRAN KASIMIN Saudara silap membuat kesimpulan bahawa kegiatan seperti ini dibiarkan begitu sahaja, dibiarkan terus menerus bermaharajalela oleh jabatan-jabatan agama di seluruh Malaysia.
Tidak ada orang yang rela sesat. Sesat dalam konteks ini, yang berkaitan dengan ajaran sesat akan menyebabkan seseorang itu menyekutukan Allah, murtad iaitu keluar daripada Islam atau akhirnya menjadi kufur.
Dalam Islam, hanya Islam agama yang diiktiraf oleh Allah. Islam itu bersyahadah, iaitu naik saksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.
Dasar ini adalah jelas. Islam itu dibawa oleh Muhammad. Baginda adalah Rasulullah, yang datang bersamanya mukjizat al-Quran.
Baginda adalah nabi dan rasul yang terakhir atau “khatamu’n-nubuwwah.” Tidak ada rasul selepas baginda. Barang siapa menyanggah dasar ini, iaitu mengaku adanya rasul selepas Muhammad atau mengaku yang dirinya rasul, contoh rasul Melayu, maka dia telah terkeluar daripada dasar Islam yang sebenar. Dengan demikian dia telah terkeluar daripada Islam iaitu murtad.
Tidak ada manusia yang berakal, waras dan sengaja reda menjadi sesat, kerana sesat itu berakhir ke neraka, namun kerana mereka yang terlibat tidak menyedari bahawa apa yang dilakukan itu sebenarnya sesat, mereka tidak menyedari perbuatannya bertentangan dengan ajaran Islam. Kesemuanya ini berlaku kerana kejahilan terhadap dasar Islam yang dijelaskan tadi. Kerana itu mereka terus sesat, malah di antara mereka ada yang begitu taksub dengan pegangan iaitu kesesatan tadi. Bukan mudah untuk mengembalikan atau memberi kesedaran untuk kembali memahami dan menginsafi kesilapan mereka.
Dalam usaha menangani masalah ajaran sesat, setiap institusi yang bertanggungjawab mengendalikannya iaitu jabatan-jabatan agama termasuk Jakim mesti mempunyai team yang komited, turun ke padang melakukan siasatan.
Tidak mudah untuk membezakan badan-badan tertentu yang sesat dan yang benar. Ada tarikat yang namanya sama, tetapi tindak tanduknya berbeza yang sesat dan tidak sesat.
Kumpulan ajaran ini kebiasaannya bergerak secara rahsia. Orang luar tidak boleh tahu, biarpun kepada isteri atau suami, selain ahli-ahli kumpulan. Setelah siasatan, laporan mesti dilakukan. Pegawai penyiasat mesti mempunyai kemahiran, mempunyai latar belakang menyelidik dan berupaya memberi laporan selengkapnya.
Masalah utama yang dihadapi sekarang ialah kurangnya kakitangan yang mahir dan mempunyai latar belakang yang mantap untuk membuat laporan. Rasul Melayu yang timbul baru-baru ini, yang begitu lama bergerak dan terus menerus bergerak mesti disiasat, apa sebenarnya dasar atau pegangan yang melibatkan penyelewengan iktikad.
Kalau ia menjelaskan bahawa setelah Nabi Muhammad itu ada lagi nabi atau rasul lain, diperjelaskan bahawa Muhammad itu adalah rasul yang terakhir. Kalau didakwa bahawa rasul Melayu itu tidak perlu sembahyang, kerana martabatnya tinggi itu ia sembahyang di Mekah, perlu diperjelaskan bahawa setiap orang Islam, apabila cukup syaratnya wajib bersembahyang.
Apabila tiba waktu sembahyang zuhur misalnya, seseorang itu wajib sembahyang pada waktunya, contoh pada pukul 1.30 tengah hari. Sekiranya rasul Melayu itu sembahyang di Mekah, sebenarnya ketika itu Mekah belum lagi waktu sembahyang Zuhur. Seseorang yang bersembahyang mesti sembahyang dengan jasad. Tentunya menggelikan hati sekiranya seorang “rasul” itu jasadnya berada di Malaysia, tetapi rohnya ke Mekah untuk menunaikan sembahyang zuhur di Mekah yang belum tiba waktunya.
Banyak lagi hujah untuk membuktikan bahawa asas pegangan ajaran sesat seumpama ini dapat difikir kesilapan atau kesesatannya. Semua ini memerlukan penyiasat yang komited dan mempunyai latar belakang agama yang kuat dan banyak melakukan penyelidikan.
Disebarkan Setelah fakta-fakta seperti ini diperoleh, ia perlu disusun rapi, dicetak dan disebarkan kepada awam. Disiarkan melalui akhbar, majalah, radio, televisyen dan lain-lain media. Sayangnya usaha-usaha seperti ini tidak dilakukan atau terlalu kurang dilakukan kerana tidak adanya perancangan yang jelas.
Kekurangan penyelidik atau pegawai penyiasat untuk melakukan tindakan yang lebih berkesan bukan masalah besar. Sekiranya mereka tidak mempunyai latar belakang yang kemas untuk menyelidik juga membuat laporan, badan yang dipertanggungjawabkan boleh menghantar pegawai-pegawai ini menghadiri kursus-kursus jangka pendek di universiti tempatan atau memanggil pensyarah dari luar untuk datang memberi kuliah ke pejabat. Apa yang lebih penting ialah kesedaran untuk melakukan tugas kepada pegawai-pegawai berkenaan yang lebih memberi kesan.
Tindakan untuk membanteras ajaran sesat tidak sewajarnya dilakukan hanya setelah mendapat aduan orang ramai ataupun setelah berita kegiatan ajaran itu keluar surat khabar. Pegawai yang dipertanggungjawabkan mesti pro aktif, untuk membanteras, menyekat juga mematau. Usaha ini mesti mendapat kerjasama semua lapisan masyarakat. Hanya dengan cara demikian usaha-usaha ini akan berkesan. Jangan sampai kumpulan ini berkampung, ahli-ahli membawa anak pinak dan teman-teman berhimpun di pusat kegiatan berkenaan baru tindakan diambil.
Ajaran sesat adakalanya didalangi oleh orang dari luar, sama ada mereka datang untuk mengajar, bertemu pengikut-pengikutnya untuk mengutip habuan ataupun mereka yang diberi status penduduk tetap. Dalam hal seumpama ini, KDN mesti bertindak melarang mereka yang terlibat masuk atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh menyekat tindak-tanduk mereka.
Kesemuanya ini tidak akan dapat dilakukan, kecuali KDN mendapat maklumat dan laporan daripada pegawai-pegawai yang dipertanggungjawab melakukan siasatan dan laporan.
Kegiatan ajaran sesat bukan seumpama kegiatan penjenayah yang memecahkan bilik pameran jualan emas, mengacukan pistol atau parang kepada pelanggan atau pegawai bank. Memang benar kegiatan ajaran ini tidak mencederakan seseorang.
Apa yang berlaku hakikatnya ajaran itu seumpama barah, yang tidak dapat disedari, biarpun oleh orang yang menghidapinya, kecuali setelah kritikal. Ajaran sesat seumpama api dalam sekam. Ia meruntuhkan iktikad seseorang, yang akhirnya membawa ke neraka jahanam.Satu perkara lain, yang perlu dipandang serius ialah penyelarasan jabatan-jabatan agama di seluruh Malaysia. Masalah agama di bawah kuasa kerajaan negeri. Oleh kerana itu pengharaman sesebuah pertubuhan yang dianggap sesat itu bergantung kepada jabatan agama negeri berkenaan.
Sekiranya negeri A mengharamkan sesuatu pertubuhan, maka pengharaman tersebut hanya berlaku di negeri berkenaan. Di negeri lain yang masih tidak mengharamkan atau tidak akan mengharamkan, pertubuhan ini tidak dianggap sesat dan bebas bergerak.
Itulah di antara kebijaksanaan penjajah British yang telah menguasai perjalanan kapal-kapal saudagar Islam dari Laut Mediteranean hingga ke China, lalu akhirnya menakluki pulau-pulau di persisiran Tanah Besar India yang sebahagian besarnya didiami orang Islam.
Mereka berpengalaman luas bagaimana hendak memporak-perandakan kerajaan Islam di kepulauan-kepulauan yang bertaburan, yang akhirnya menjajah Melaka, di mana akhirnya sebahagian besar daripada undang-undang di Tanah Melayu berkiblatkan undang-undang British.
Apabila sesebuah negeri mengharamkan sesuatu pertubuhan yang dipastikan melakukan ajaran sesat, ia sewajarnya diapliksikan oleh negeri-negeri lain. Di sini jelas betapa Islam itu bersatu dan mempunyai dasar yang tegas, kuat lagi menyakinkan.
Dalam usaha mengekang ajaran sesat, kemasukan buku-buku agama dari luar mesti diselidiki, dibaca dan disemak. Hanya buku-buku yang hakikat sahaja dibenarkan diedarkan di Malaysia.
Apa yang berlaku sekarang ini, kemasukan buku-buku agama dari negara jiran terutamanya, termasuk buku-buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris, masuk dan diedarkan dengan bebas.
Pengedar-pengedar buku bebas membawa masuk apa-apa buku asalkan mendatangkan keuntungan. Di antara mereka menulis buku, biarpun tidak sepatutnya atau selayaknya menulis buku agama dan menjual tulisan mereka kepada penerbit-penerbit lantas disebarkan di seluruh negara.
Kesilapan
Terlalu banyak kesilapan berlaku pada sesetengah buku yang diedarkan termasuk kandungannya, tulisan Arab yang terkandung dalamnya, baris-baris pada ayat al-Quran dan hadis dan sebagainya. Tidak jelas mengapa keadaan ini terus menerus berlaku. Mungkin ada buku yang diharamkan, tetapi pada umumnya pengawasan terhadap buku-buku agama terlalu kurang dititik-beratkan.
Terkini, timbul pula dakwaan tentang amalan bidaah yang melibatkan bacaan wirid selepas sembahyang lima waktu, upacara berarak atau menyambut maulidur rasul, amalan membaca Yasin selepas kematian, selama tiga, tujuh, 40 hari berturut-turut atau setahun selepas kematian yang akhirnya dilakukan setahun sekali.Merujuk kepada bidaah yang melibatkan bacaan Yasin selepas kematian, ia didakwa amalan itu bidaah kerana tidak pernah diamalkan di zaman Rasulullah, para sahabat, tabiin dan sebagainya. Yang dikatakan bidaah ialah ketentuan hari iaitu bacaan selama tiga, tujuh, 40 atau 100 hari atau setahun.Amalan yang tidak dilakukan oleh nabi, yang baru atau direka-reka, adalah bidaah. Setiap bidaah adalah sesat. Orang yang sesat tempatnya ke neraka.Membaca Yasin itu tidak bidaah dan tidak menghela pembacanya ke neraka. Yang menyebabkan masuk neraka ialah amalan menentukan hari-hari tertentu untuk membaca Yasin.Pertelingkahan seumpama ini terlalu kecil untuk dijadikan punca perbalahan di kalangan umat Islam di kalangan penduduk, ataupun di kalangan jemaah sesebuah masjid atau surau. Masih banyak masalah lain, yang lebih besar perlu diperbincangkan, termasuklah perancangan ternakan babi yang memakan belanja ratusan juta ringgit di Selangor.
Di kalangan masyarakat Islam Malaysia, tidak ada orang yang menentukan atau menetapkan, jauh sekali untuk mewajibkan bahawa membaca Yasin itu mesti dilakukan selama tiga, tujuh hari berturut-turut selepas seseorang itu meninggal, untuk dikirimkan pahalanya kepada arwah si mati.Ketentuan hari itu hanya merupakan adat yang dilakukan oleh sesetengah masyarakat. Di samping waktu atau hari-hari tersebut bacaan Yasin atau al-Quran itu bebas untuk dibaca, kerana al-Quran adalah mukjizat baginda SAW. Lantaran itu, dakwaan atau hukuman bidaah yang dilemparkan terhadap mereka yang membaca Yasin adalah di antara usaha tersembunyi untuk memecah-belahkan masyarakat Islam melalui agama.
Rujukan ;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm