Saturday, August 30, 2008

Benarkah Ulamak Nusantara Tidak Mengkafirkan Mujassimah??!






Disediakan Oleh ;
Abu Lehyah Al-Kelantany
( 0133005046)

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله رب العالمين, مكون الأكوان, مدبر الأزمان, الموجود أزلا وأبدا بلاكيف ولاجهة ولامكان , والصلاة والسلام على محمد سيد الأنبياء والمرسلين, وعلى ءاله الطاهرين وصحابته الطيبين, اما بعد


ULAMAK MELAYU BUKAN CALANG-CALANG ULAMAK


Sesetengah hamba Allah yang dahagakan kebenaran semalam bertanyakan tentang ulamak-ulamak Melayu kita yang mengatakan iktikod mengatakan Allah ini berjisim adalah keluar daripada Islam. Maka di atas hasrat yang murni itu hamba datangkan ulamak yang paling mashur di tanah air kita, kata-katanya dijadikan hujah, perbuatan dan akhlaknya dijadikan contoh dan teladan, zuhudnya dipertuturkan oleh lidah dan amalan.




Berkata Al-Alim Al-Allamah Al-‘Arif Al-Rabbany Maulana Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathony [1] dalam menjelaskan perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu keluar daripada Islam melalui iktikod: “….syak akan satu sifat Allah atau dibangsakan baginya sifat yang wajib kita sucikan dia daripadanya dengan ijma’ seperti (Allah) berjisim [2] atau masuk pada suatu (akidah hulul ) atau bersuatu (bersatu) dengan sesuatu (ittihad), sekalian iktikoq kufur”.


Kata-kata Al-Alim Al-Allamah Al-‘Arif Al-Rabbany Maulana Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathony ini disyarahkan serba sedikit oleh anak muridnya, Syeikh Muhammad Nur Bin Muhammad Bin Ismail Al-Fathony di dalam kitabnya, Sullamul Muhtady [3] syarah bagi kitab Kifayatul Muhtady: “… atau dibangsakan baginya sifat yang wajib kita sucikan dia daripadanya dengan ijmak seperti (Allah) berjisim atau masuk pada suatu (hulul), atau bersuatu (bersatu) denga suatu (ittihad), sekalian itu iktikod kufur maka jadilah dia murtad dengan yang demikian itu “.


Pembicaraan tentang iktikod Allah berjisim ini dibukukan oleh kedua- dua ulamak tadi di bawah tajuk murtad. Ini menunjukkan Mujassimah itu terkeluar daripada Islam.


Berkata Syeikh Muhammad ‘Ali Bin Abdul Ghafur Al-Kelantany di dalam Kitab Zahratul Murid Fi ‘Aqa-id At-Tauhid [4]: “dan Zat allah taala itu tiada berjisim”.



Berkata Syeikh Al-Fadhil Umar Bin Zainul Abidin Al-Fathoni, anak kepada Al-Alim Al-Allamah Zainul ‘Abidin Ibn Muhammad Al-Fathony yang mashhur dengan gelaran Tuan Minal dalam membicarakan tentang bab Riddah (murtad ) : “ atau iktikod ia akan ketiadaan (mengingkari) satu sifat daripada segala sifat Allah subhanahu wata ’ala yang wajib baginya dengan ijmak ulamak seperti sifat Al-ilmu dan Al-qudrah atau menyebut ia bagi Allah Subhanahu Wata ‘Ala itu akan satu sifat yang Maha Suci Allah Taala daripada nya dengan ijma’ seperti jisim (mengatakan Allah taala jisim) dan warna atau berhubung dengan alam atau bercerai daripadanya”.[5]


Selain daripada itu, terdapat beberapa kitab yang dikarang oleh seorang ulamak jawi kita yang jelas mengatakan golongan mujassimah keluar daripada Islam. Namun, Kitab ini tidak di nyatakan pengarangnya. Apa yang pasti semasa penulis berada di Thailand, pernah beberapa kali menanyakan tentang pengarang kitab ini tetapi tidak diketahui jua. Apa yang agak pasti pengarangnya sezaman dengan Al-Alim Al-Allamah Al-‘Arif Al-Rabbany Maulana Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathony atau dia sendiri atupun murid-muridnya. Kitab yang penulis maksudkan ialah “ Tuhfah Al-Raghibin Fi Bayani Haqiqati Iman Al-Mukminin Wama Yufsiduhu Min Riddati Al-Murtaddin Li Ahadi Ulama’ Al-Jawiyin Al-‘Alamin”[6], berkata pengarang kitab : (( “ adapun kaum mujassimah, maka setengah daripada mereka itu iktikod bahawa Allah itu jauhar yang maujud, dan setengah mereka itu bahawa Allah taala itu jisim tetapi tiada seperti jisim yang lain, dan setengah mereka itu iktikodnya bahawa Allah taala seperti rupa manusia, dan setengah mereka itu iktikodnya bahawa ada bagi Allah taala daging dan darah dan anggota muka dan tangan dan kaki dan jari, dan setengah mereka tu iktikodnya bahawa ada bagi Allah Taala rupa tetapi tiada kami ketahui betapa (bagaimana) rupanya, dan setengah mereka itu iktikodnya bahawa Allah taala datang dan turun dengan zatnya serta bergerak dan berpindah daripada sesuatu tempat kepada suatu tempat, dan setengah mereka itu iktikodnya Allah Taala duduk di atas arasy, dan setengah mereka itu iktikodnya bahawa Allah Taala masuk pada Arasy dan Arasy itulah tempat kediamannya..Syahadan. Adalah perpegangan (pegangan) setengah kaum mujassimah pada iktikodnya yang tersebut itu dzohir ayat dan hadits yang mutasyabihat. Dan di nama ia kaum mujassimah itu (sebagai) musyabbihah. Kata Imam Fakhruddin Al-Razi ; yang mujassimah itu mushabbihah, dan yang mushabbihah itu kafir kerana diitsbatkannya bagi hak Allah Taala berjisim, dan akan jisim itulah yang disembahnya, dan barangsiapa menyembah jisim maka sanya jadi kafir kerana ia meyembah yang lain dari dari Allah Taala. Kata Imam Ahmad Radhiallahu Anhu : “ barangsiapa mentashbihkan Allah Taala dengan makhluk maka sanya jadi kafir, dan berkata Sohib Al-Jauhar Al-Nafsiyah : barangsiapa mengiktikodkan Allah taala itu berjisim maka sanya jadilah ia kafir”.


Lagi berkata pengarang kitab “ Tuhfah Al-Raghibin Fi Bayani Haqiqati Iman Al-Mukminin Wama Yufsiduhu Min Riddati Al-Murtaddin Li Ahadi Ulama’ Al-Jawiyin Al-‘Amilin” selepas mengkafirkan mujassimah: “ pelihara akan dirimu daripada daripada iktikod dan perkataan dan perbuatan yang bid’ah, dan janganlah bersahabat dengan kaum yang mempunyai bida’ah lagi dhaolalah (sesat lagi menyesatkan), dan janganlah memuliakan mereka itu kerana sabda Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasallam ;


Yang bererti “ barangsiapa yang memuliakan ahli Bida’ah maka sanya menolongi ia pada pada meruntuhkan agama Islam. Telah meriwayatkan akan hadits ini Imam Al-Baihaqi. Dan lagi sabda nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasallam ;


Yang bererti : “ Ahli Bida’ah itu sejahat-jahat makhluk dan tabiat”. Telah meriwayatkan akan hadits ini Abu Nu’aim. Dan lagi sabda Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasallam :


Yang ertinya “ Barangsiapa menghinakan akan ahli bida’ah nescaya disentosakan Allah Taala akan dia pada hari kiamat daripada huru hara terkejut yang amat besar” )) tamat nukilan penulis daripada kitab “ Tuhfah Al-Raghibin Fi Bayani Haqiqati Iman Al-Mukminin Wama Yufsiduhu Min Riddati Al-Murtaddin Li Ahadi Ulama’ Al-Jawiyin Al-‘Alamin”.

.................................

[1] Lihat Berkata Al-Alim Al-Allamah Al-‘Arif Al-Rabbany Maulana Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathony, Kifayatul Muhtady.

[2] Berkata Imam As-Syafie: “Jangan mengkafirkan Ahlul-Kiblah, dikecualikan dalam masalah ini al-mujassim. Berkata sesetengah ulamak perkara Bida’ah itu terdapat beberapa bahagian , bahagian yang pertama apa yang wajib kita kafirkan seperti orang yang menuduh ‘Aisyah radhiallahu anha, dan orang yang mungkir ilmu juz’yat, dan orang mengingkari kembalinya jasaq selepas kematian,, dan mujassimah, dan orang yang berkata dengan qidam alam (ala mini azali)…”. Lihat Imam As-Suyutiy Al-Ashbah Wa Al-Naza’i r Fi Qawa’idy Wa Furu’ Fiqhi As-Syafi’yyah, Bab Murtad, ( Beirut , Percetakan Darul Kutub Al-Ilmiyyah ) juzuk ; 2, m/s : 441.

[3] Lihat Syeikh Muhammad Nur Bin Muhammad Bin Ismail Al-Fathony , Sullamul Muhtady, ( Fathony Thailand, Percetakan Maktabah Wa Mathba’ah Muhammad Al-Nahdy Wa Auladidi, tarikh : 10 Syaaban tahun 1351 H) m/s22.

[4] Syeikh Muhammad ‘Ali Bin Abdul Ghafur Al-Kelantany, Kitab Zahratul Murid Fi ‘Aqa-id At-Tauhid ( Fathony Thiland, Percetakan Mathba’ah Bin Halaby,Tahun 1396 H ) m/s 11.

[5] Rujuk Miftah al-Murid Fi ilmi at-Tauhid ( Surabaya Indonesia, Percetakan Bengkulu Indah, tahun : tiada )m/s 8.

[6] Lihat Tuhfah Al-Raghibin Fi Bayani Haqiqati Iman Al-Mukminin Wama Yufsiduhu Min Riddati Al-Murtaddin Li Ahadi Ulama’ Al-Jawiyin Al-‘Alamin, ( Fathoni Thailand, Percetakan Mathba’ah Bin Halaby ) M/S 17.


Disediakan Oleh ;

Abu Lehyah Al-Kelantany

( 0133005046)

http://abulehyah.blogspot.com/