Wednesday, May 21, 2008

MURTAD ; SIAPAKAH DALANGNYA?



Di sediakan oleh :
Abu Lehyah alkelantany
(0133005046)

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين, مكون الأكوان, مدبر الأزمان, الموجود أزلا وأبدا بلاكيف ولاجهة ولامكان , والصلاة والسلام على محمد سيد الأبياء والمرسلين, وعلى ءاله الطاهرين وصحابته الطيبين, اما بعد


MURTAD BUKAN SEMUDAH YANG DISANGKA


Walaupun sehingga kini belum ada statistik yang tepat menunjukkan bilangan dan jumlah orang Islam yang murtad atau bertindak keluar daripada agama Islam tetapi kejadian yang berlaku itu sedikit sebanyak telah menimbulkan keresahan di kalangan umat islam. Kejadian murtad bukan merupakan isu atau perkara yang baru tetapi ianya telah berlaku sejak zaman Rasulullah lagi.
Dari segi syarak, murtad merupakan satu kesalahan jenayah yang membawa implikasi yang besar dalam masyarakat. Mereka yang murtad boleh dikenakan hukuman atas kesalahan tersebut ( iaitu bunuh sebagaimana termaktud dalam hadits Rasulullah). Justeru itu penulis menyeru masalah murtad yang berlaku di kalangan umat islam harus ditangani dengan sebaik mungkin bagi mengelakkannya daripada menjadi tidak terkawal.

Punca dan susur galur yang membawa kepada gejala tersebut perlu diperhalusi supaya langkah-langkah yang konkrit dan sistematik dapat diambil untuk mengatasi dan membenterasnya. Terdapat pelbagai faktor yang telah dikenal pasti sama ada dalaman ataupun luaran. GEJALA MURTAD JUGA BERPUNCA DARIPADA USAHA USAHA TERANCANG DARIPADA PIHAK-PIHAK TERTENTU ( MEREKA MERUPAKAN ORIENTALIS, GOLONGAN WAHHABI SEDUNIA DAN AJARAN SESAT LAIN ) YANG MEMPUNYAI AGENDA KHUSUS UNTUK MENGHANCURKAN AKIDAH UMAT ISLAM.


KELEMAHAN UMAT ISLAM


Namun begitu, kelemahan umat Islam merupakan faktor utama yang menyebabkan berlakunya kejadian tukar agama dikalangan umat Islam. Semuanya berpunca daripada kurangnya pemahaman, penghayatan dan pengamalan terhadap ajaran Islam. Agama dan moral tidak lagi menjadi teras dalam kehidupan. Pembangunan jasmani tidak seimbang dengan pembinaan rohani telah melahirkan manusia yang bersikap materialistik dan individualistik.

Sikap yang mementingkan diri sendiri ini telah melahirkan golongan manusia yang tidak mempedulikan ikatan sosial dan institusi kekeluargaan. Sikap ketidakpedulian yang semakin menjadi-jadi menyebabkan ada dikalangan orang Islam bertindak keluar daripada agama islam dengan sewenang-wenangnya.

Ada diantara mereka tanpa sebarang perasan takut dan malu telah mengisytiharkan dirinya keluar daripada Islam. Seperti kes terbaru yang berlaku kepada Siti Fatimah. Tindakan itu dialpakan dan tidak mendapat perlindungan daripada masyarakat. Manakala sebilangan lagi tanpa membuat pengumuman secara terbuka keluar daripada Islam. Apa pun bentuk yang diambil, kejadian murtad wajib dipandang serius dan masyarakat wajib berperanan sebagai benteng mencegah perkara tersebut.


KERAPUHAN AKIDAH DAN KERUNTUHAN AKHLAK


Kewujudan pelbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak yang berleluasa merupakan suatu bentuk ancaman yang cukup serius terhadap kelansungan dan kekuatan umat islam. Keadaan itu diburukkan lagi dengan kurangnya kawalan terhadap rancangan dan program televisyen yang diimport daripada barat dan tidak ditapis oleh orang yang sepatutnya.

Suatu makanisme yang lebih berkesan perlu diwujudkan untuk menapis siaran yang datang daripada luar. Ini kerana semacam wujud usaha terancang daripada barat dan golongan wahhabi yang melalui media massa untuk melemahkan umat islam serta mengekang kebangkitan Islam sebagai kuasa baru dunia. Usaha itu dilakukan dengan memecah belah perpaduan masyarakat dan mencetuskan krisis akidah dalam masyarakat Islam. Musuh yang paling nyata bagi umat Islam sepanjang zaman sebagai difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran ialah orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kedua-dua golongan ini tidak akan redha sehingga umat islam mengikut cara hidup mereka. Musuh yang tidak nyata pula, memainkan peranan yang amat licik, mereka berbajukan islam dan memakai jenama “salafi moden” atau nama sebenar ialah al-wahhabiyah yang semacam telah merebak luas dalam masyarakat yang rapuh pegangan akidahnya. Berhubung perkara ini usaha untuk memurtadkan orang Islam dilakukan menerusi berbagai-bagai cara melalui penjajahan pemikiran, jiwa dan kemungkinan besar mereka mempunyai agenda besar mewahabikan Negara Malaysia. Di mulai dengan pembid'aatan terhadap amalan yang disunatkan sehinggalah menyebarkan akidah-akidah kufur mereka seperti Allah duduk di atas arasy, alam ini azali, nabi pertama ialah nabi nuh bukannya adam, neraka akan binasa, Tauhid tiga, dan berlambak lagi akidah-akidah mereka yang telah difatwakan sesat oleh ulama' -ulama' muktabar sebagaimana yang telah penulis nyatakan pada rencana yang telah lalu. Iktikad tersebut sebagaimana dinyatakan oleh ulama'-ulama' menebabkan seseorang itu keluar daripada Islam . Agenda mereka (Wahhabi) ini disokong kuat oleh orientalis barat yang sebelum ini amat ghairah melihat umat Islam berpecah belah dan porak peranda.

Berbagai pertubuhan telah ditubuhkan oleh golongan –golongan berkenaan untuk memesongkan akidah umat islam. Kebanyakan pertubuhan tersebut adalah berteraskan kebajikan serta bergerak diatas nama hak asasi, persamaan dan pembebasan. Gerak kerja yang dijalani cukup halus dan begitu berkesan sehingga menyebabkan ramai yang terpedaya dengan dakyah serta propaganda yang disebarkan. Pendekatan yang mereka gunakan begitu diplomasi terutamanya dalam menyebarkan agama dan ajarannya. Para pendakyah mereka berkunjung ke Universiti-universiti untuk membuat seminar Tajdid dan sebahagiannya sampai ke tahap berjaya menjadi pensyarah, ditambah lagi mereka mewakilkan suara mereka melalui seorang Mufti Muftary Mohamad Asri Zainul Abidin yang sekarang ini menjadi parasit dalam masyarakat. Selain itu mereka juga mengadakan program-program seperti menziarahi orang sakit, anak yatim, membuka institusi ( Institut Ibn Qayyim al-jauziyyah), madrasah atau sekolah di kawasan bandar atau luar bandar dan menyebarkan risalah-risalah secara percuma.

Masalah murtad yang berlaku dalam masyarakat Islam kontemporari merupakan suatu realiti dan ia akan terus menjadi duri dalam daging kepada umat Islam kalau langkah-langkah segera tidak diambil untuk membenterasnya. Barangkali satu kawalan melalui perundangan boleh difikirkan bagi membendung kejadian murtad daripada terus membarah dalam masyarakat. Isu Wahhabi perlu dijadikan sebagai ajaran sesat rasmi negara dan wajib difatwakan sesat oleh mufti-mufti tanpa berdiam diri atau mengambil langkah tidak mempedulikan kerana takut periuk nasi mereka tergadai. Janganlah sampai mereka hampir menguasai negara barulah terburu-buru menanganinya seperti yang berlaku beberapa tahun yang lepas iaitu isu berkaitan ajaran Al-arqam dan al-ma'unah. Kita bimbang perkara ini berlarutan dan jadi seperti pepatah melayu " api bila kecil jadi kawan tapi bila besar jadi lawan". Kalaulah tidak bersegera menangani ajaran sesat ini akan bercambahlah lagi ajaran-ajaran sesat lain seperti Ajaran Kahar,Qadianiyyah, Ayah Pin dan seumpamanya.

Setiap umat Islam harus memainkan peranan untuk mengawalnya. Kejadian murtad yang melanda umat Islam dewasa ini perlu dilihat sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi dengan bersungguh-sungguh. Kalau tidak, akidah yang menjadi asas keislaman seseorang bisa punah dan dirobohkan dengan asakan bertali arus daripada golongan- golongan sesat al-wahhabiyah dan pihak misionari agama-agama lain.

Ancaman murtad boleh menggugat kelestarian agama islam dan survival para penganutnya. Oleh itu, penyelesaian terhadap masalah ini harus bermula dan dimulakan daripada dalam masyarakat Islam itu sendiri sebelum diperluaskan ke peringkat yang lebih luas lagi.

Penulis menyeru kepada diri sendiri dan semua supaya sama-sama kita renungi masalah ini yang kian menjadi-jadi dalam masyarakat. Dan marilah sama-sama kita pohon perlindungan daripada Allah daripada terjebak dengan jenayah murtad ini.

يا مقلب القلوب ثبَت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك

" Ya ALLAH, tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkan kami di atas landasan agama Mu dan sentiasa taat pada perintah Mu"

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا بسوء الخاتمة

" Ya Allah ya Tuhan kami , engkau tamatkan riwayat hidup kami dengan sebaik-baik kesudahan, dan janganlah tamatkan hidup kami dengan kesudahan yang buruk ”..ameen...


Di sediakan oleh :
Abu Lehyah al-Kelantany
(0133005046)

No comments: