Sunday, June 29, 2008

Kepentingan Akidah Dalam Pembentukan Muslimah




OLEH: Hajjah Azizah Khatib Mat
Jumaat 27 Jun 2008 22 Jamadil Akhir 1429 Hijrah


Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam, Dialah Yang Mencipta arasy, langit dan bumi, Dialah juga pencipta tempat, wujudNya tanpa memerlukan tempat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa penerapan ilmu akidah bersistemkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap para muslimah sememangnya dapat membentuk peribadai wanita muslimah yang mulia.
Namun dalam menghadapi cabaran menerapkan ilmu ini kita dapati ramai golongan yang asyik melabelkan diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.

Mari kita merenung sejenak, adakah dengan hanya mengaku sedemikian sahaja tanpa bukti yang kukuh harus bagi kita menamakan mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah? Sekiranya begitu maka sesiapa sahaja yang tidak berakidah Islam pun berpeluang mendakwa sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah.

Sedia maklum bahawa ancaman dan penentangan terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar datang dari pelbagai sudut termasuk wujudnya ajaran-ajaran songsang, aliran-aliran baru yang menyimpang, keganasan yang terkeluar dari erti jihad, isu murtad dan sebagainya. Apakah mauqif dan peranan kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Ramai jua yang tahu peranan masing-masing tetapi mengabaikan tindakan segera atau menganggap ia sebagai suatu yang boleh dilakukan pada masa yang akan datang tanpa disedari semakin hari semakin pupus insan yang mengetahui erti akidah yang sebenar, semakin hari semakin hilang mutiara ilmu akidah yang menjadi senjata utama dalam menguatkan serta memajukan lagi traf insan yang bergelar Ahli sunnah Wal jamaah. Renunglah sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: "sesungguhnya manusia itu apabila ia melihat (mengetahui) kemungakaran, tiada pula ia merubahkannya maka Allah akan mengumumkan azabNya ke atas semua manusia."

Riwayat Imam Ibnu Asakir dan Imam Abdari dalam kitab beliau tahzir Syar'i wajib. Jadikan juga renungan pada kata-kata yang sering diungkapkan oleh para ulama seperti Imam Ali Ad-Daqqoq yang bermaksud, "senyap dari menyatakan kebenaran merupakan syaitan bisu".

Betul akidah terima ibadah

Akidah yang membawa erti pegangan dan kepercayaan dan pegangan serta kepercayaan ini pula terbahagi kepada dua iaitu benar dan salah. Akidah yang benar merupakan kunci kepada segala penerimaan ibadah. Tanpa akidah yang benar Allah tidak akan menerima segala amalan soleh.

Sekiranya akidah seseorang itu salah maka yang akan dicatit hanyalah amalan keburukkan maka akan hanya dibalas dengan keburukkan. Justeru itu perkara yang berkaitan dengan akidah tidak harus dijadikan gurau senda atau diremeh-remehkan.

Hubungan akidah dan amalan soleh ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud: "Dan barangsiapa melakukan amalan soleh dari kalangan lelaki ataupun wanita dalam ia beriman (beraqidah dengan aqidah yang betul) maka merekalah yang akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit." (An-nisa: 124)

Ayat tersebut jelas menerangkan bahawa apa sahaja amalan soleh yang dilakukan orang lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaan dari Allah. Begitu juga kenyataan dari hadith nabi yang bermaksud, "Semulia-mulia amalan adalah beriman kepada Allah dan rasulNya (beraqidah dengan aqidah yang betul)."

Riwayat Imam Bukhari dalam kitab Sohih Bukhari. Ini menunjukkan bahawa akidah merupakan sesuatu yang teramat penting dan perlu diutamakan dari masalah-masalah lain.

Akidah ahli sunnah wal jamaah

Kesemua akidah Ali Sunnah Wal Jamaah adalah berlandaskan Al-Quran, Al-Hadith serta Ijmak para ulama.

Dalam ilmu berkaitan mengenal Allah Subhanahu Wa Ta'ala, para ulama ahli Subaha Wal Jamaah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Allah Ta'ala sendiri di dalam Al-Quran dan apa yang telah dinyatakan oleh Rasullulah di dalam hadith baginda tanpa menyandarkan sifat tasbih (penyamaan) atau tajsim (menjisimkan) bagi Allah, ulama ahlu Sunnah Wal Jamaah juga menafikan bagi Allah segala sifat tersebut seperti sifat duduk, bertempat, berkaki, berbetis, zat yang turun naik dari langit ke bumi, berada di atas langit, berada di atas arasy dan sebagainya dari sifat-sifat yang tidak layak bagi tuhan bahkan mustahil baginya.

Ini semua berdasarkan firman Allah di dalam surah As-Syura ayat 11 yang bermaksud: "Tiada sesuatupun yAang menyerupaiNya". Wujudnya Allah tanpa diliputi tempat berdalikan juga dari sabda Nabi Muhammad yang bermaksud "Allah telah sedia wujud (azali) dan tiada sesuatupun selain Allah itu azali". Riwayat Bukhari dalam Sohih Bukhari.

Ini merupakan dalil qoth'i bahawa dia sahaja yang wujudnya azali manakala tempat, arasy, langit, dan selainnya bukan azali.

Ijmak para ulama yang telah dinukilkan oleh Imam Abdul Qohir Bin Tohir Al-Baghdadi dalam kitab Al-Farqu Bainal Firaq halaman 333 cetakan Darul Ma'rifah jelas menunjukkan kewujudan Allah bukanlah berada di atas arasy akan tetapi Allah Wujud tanpa diliputi oleh tempat: "Dan telah disepakati dan diijmakkan bahawa Allah tidak diliputi tempat,"ijmak para ulama ini sememangnya tidak boleh ditolak lagi oleh golongan mujassimah dan musyabbihah yang menyamakan Allah dengan makhluk.

Murtad ancamannya terhadap akidah

Isu murtad menjadi masalah yang paling utama bagi sesebuah negara sekiranya negara itu sememangnya negara Islam. Untuk menyelesaikan kes murtad ini tidak boleh lari mengetahui hukum hakam berkaitan murtad.

Maka mempelajari perkara yang boleh membatalkan Islam seseorang adalah perlu supaya kita tidak terjerus ke kencah murtad dan dapat membantu mengislamkan mereka yang telah murtad. Perlu diketahui bahawa diwajibkan ke atas setiap orang Islam menjaga akidahnya di dalam Islam dan melidungi dirinya dari apa-apa yang memusnahkan (merosakkan), membatalkan, dan memutuskan akidahnya, ini dinamakan sebagai keluar dari Islam iaitu Riddah (murtad) Imam an-Nawawi dan imam-imam yang lain pernah menyatakan:

"Murtad adalah jenis kekufuran yang paling dibenci."

Telah menjadi satu kebiasaan pada zaman ini dimana seseorang itu menuturkan perkataan-perkataan yang mana membawa dia keluar dari Islam, dirinya tidak menyangka dengan menuturkan perkataan-perkataan itu boleh menjadikannya kafir.

Maka terjadi kes-kes murtad yang dia tidak sedar bahawa dia telah pun murtad. Semua ini berlandaskan apa yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah dalam hadith baginda:

"Sesungguhnya seseorang itu berkata ia dengan kalimat yang tidak disangkakannya membahaya yang mana menyebabkannya menjunam jatuh 70 tahun ke dalam neraka." (Riwayat Imam Tirmizi dan Sunan).
Ini juga bererti tidak semestinya dalam keadaan tenang sahaja seseorang itu akan menjadi murtad apabila menuturkan perkataan kufur. Bahkan di dalam keadaan marah pun seseorang itu akan jatuh murtad jika di menuturkan perkataan kufur.

Imam Nawawi pernah berkata yang bermaksud; "Jika seorang lelaki marah pada anaknya atau hambanya dan memukulnya dengan teruk, kemudian datang seorang yang lain bertanya kepadanya, "kenapa engkau melakukan ini? Tidakkah engkau seorang Islam? Dengan segaja dia menjawab, 'Tidak', maka dia telah menjadi murtad kerana tidak mengaku sebagai muslim". Ini juga telah dinyatakan oleh ulama dari mazhab Hanafi dan juga para ulama Islam yang lain.

Maka kita perlu menghindari umat Islam dari bahaya murtad yang tersebar dan menjaga serta menerapkan isi ilmu akidah Islam sebenar bagi merealisasikan pembentukan muslimah yang solehah.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Rujukan :

Sila layari http://www.englishsection.com/ untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.



No comments: